Tuesday, 11 October 2011

Motivasi Percuma?

" Program motivasi hari ini semuanya mahal-mahal " rungut seorang bapa.
" Bayar program mahal-mahal tapi tiada kesan pun!" kesal seorang ibu.

Itulah rungutan yang kami dengar saban hari. Banyak pihak cuba menyalahkan pihak konsultan/ jurulatih/ motivator apabila cas yang terpaksa mereka bayar terlalu tinggi.

Ini bukan kali pertama suara seperti ini kedengaran, bahkan sudah puluhan tahun semenjak dunia motivasi mula bertapak dalam Malaysia lagi. Saya juga tidak terlepas dari mendengar perkara tersebut. Saya juga kadang-kadang merasa kecewa dengan masyarakat hari ini. Mereka lebih sanggup membayar tinggi perkara-perkara tak penting (hiburan/makanan/pelancongan/fesyen dll) berbanding perkara penting (pembangunan diri/ motivasi).

Saya yakin semuanya berpunca dari cara kita memandang sesuatu. Ada yang melihat pihak konsultan/ jurulatih/ motivator hanya mencari untung. Pihak konsultan pula melihat dari sudut tanggungan kos program seperti makan minum, bayaran sewa tempat, kos peralatan, pengangkutan, bayaran profesional dan banyak lagi.

Walaubagaimana cara pandang kita sekali pun, saya memilih landasan ini untuk memberi khidmat motivasi percuma* kepada sesiapa sahaja. Samada sekolah rendah, menengah, kolej, IPTA, IPTS, jabatan-jabatan, kilang-kilang dan sebagainya. PERCUMA*? Ya PERCUMA* sahaja!

Benarkah percuma?

Ada cas tersembunyi tak? Bila sebut sahaja percuma, tentu orang akan bertanya tentang cas tersembunyi. Maka saya dengan rendah hati menyatakan cas percuma ini hanyalah untuk slot penyampaian (ceramah) dan slot interaktif (soal jawab & aktiviti) sahaja. Itupun pada kadar maksima 2 jam. Anda bolehlah menjemput saya sebagai pengisi slot ataupun penceramah jemputan. Inilah khidmat sosial yang saya ingin berikan kepada sekalian rakyat Malaysia.

Saya juga terpaksa mengenakan kos kenderaan pada harga seminima RM1 setiap kilometer. Saya sebenarnya tidak suka mengambil cas ini. Saya pernah bercita-cita satu hari nanti, saya mahu pergi memberikan ceramah/pengisian tanpa perlu dibayar walau 1 sen pun. Bahkan saya sendiri akan datang membawa duit untuk diserahkan pada peserta yang bertuah. Tetapi saya memujuk hati untuk tetap mengakui hari ini semuanya memerlukan kos. Kos, kos, kos. Semuanya perlukan bayaran.

Oleh itu, sebagai memenuhi hajat dan hasrat saya untuk bersama dengan seramai mungkin manusia, saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menawarkan khidmat percuma ini. Saya mahu mulakan sekarang khidmat percuma ini. Saya memilih untuk tidak menunggu duit saya sudah banyak barulah saya fikir untuk menyumbang pada masyarakat. Biarlah saya mulakan segera walaupun masih dalam keadaan tidak berkemampuan. Doakanlah satu hari nanti hajat saya untuk menyampaikan ceramah secara percuma (tanpa apa-apa cas) tercapai.

No comments:

Post a Comment